Oleh Aimi Mohamad Farid

SERDANG, 19 Jun - Pelajar Bacelor Sastera Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, Sufea Aishah Ab. Halim muncul sebagai naib johan dan membawa pulang wang tunai RM1,000.
Sufea berkata, beliau amat bersyukur dan tidak menyangka berjaya meraih naib johan memandangkan ia merupakan pengalaman pertamanya menyertai pertandingan bercerita di peringkat institusi pengajian tinggi.
“Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur dan tidak menyangka sama sekali kerana kejayaan ini merupakan satu pencapaian yang amat besar dan bermakna buat diri saya serta menjadi kebanggaan apabila dapat mengharumkan nama UPM,” katanya.
Tambah beliau, cabaran terbesar sepanjang membuat persediaan adalah menghasilkan persembahan yang mempunyai kelainan bagi menarik perhatian juri.
“Di peringkat IPT, semua peserta sangat kreatif dan hebat, jadi saya perlu memastikan cerita yang disampaikan mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga skrip dan gaya penyampaian beberapa kali dirombak sebelum menemui pendekatan yang paling berkesan,” katanya.
Turut mengharumkan nama UPM ialah Nurul Syaqilah Adawiyah Suhardi yang meraih tempat ketiga serta Anugerah Busana Terbaik, membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM950.
Seorang lagi wakil UPM, Nur Syifa Arinah Abdul Kadir, turut mencatat pencapaian membanggakan apabila menerima Hadiah Saguhati dengan wang tunai RM200.
Kejayaan menyapu tiga anugerah melalui tiga wakil yang dipertandingkan itu membuktikan kecemerlangan mahasiswa UPM dalam bidang kesusasteraan Melayu serta keupayaan mereka menghidupkan karya-karya agung melalui seni penceritaan yang memikat dan berimpak.
Pencapaian tersebut turut mencerminkan komitmen UPM dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai apresiasi tinggi terhadap warisan sastera, bahasa dan budaya Melayu sebagai asas pembentukan jati diri serta identiti bangsa.
Pertandingan Bercerita Karya Agung Melayu dianjurkan bagi memupuk budaya membaca, memahami dan menghayati karya agung dalam kalangan mahasiswa memperkukuh usaha memartabatkan kesusasteraan Melayu dalam kalangan generasi muda.
Dalam pada itu, Pertandingan anjuran Yayasan Karyawan itu bertujuan memupuk budaya membaca, memahami dan menghayati Karya Agung Melayu dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi memupuk apresiasi terhadap warisan sastera Melayu dalam kalangan generasi muda.
Penyertaan yang melibatkan 10 peserta daripada tujuh institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) seluruh negara menyaksikan ketiga-tiga wakil UPM berjaya menempatkan diri dalam kalangan penerima anugerah.
Tarikh Input: 19/06/2026 | Kemaskini: 19/06/2026 | hairul_nizam

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA