Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 4 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM) terus melakar kecemerlangan apabila muncul sebagai juara dalam penyertaan sulung di pertandingan berprestij MONIN Cup Malaysia 2026 bagi kategori Mocktail, baru-baru ini.
Lebih membanggakan, UPM merupakan universiti penyelidikan awam (Research University) pertama di Malaysia yang menyertai pertandingan bertaraf industri tersebut, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul gelaran juara.
Kejayaan tersebut diraih oleh pelajar Tahun Dua Program Bacelor Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian (BSPPMdK), FSTM, UPM, Ahmad Najmi Alif Ahmad Azhan yang dinobatkan sebagai Juara MONIN Cup Malaysia 2026 (Kategori Mocktail).
Pertandingan MONIN Cup Malaysia merupakan antara platform paling berprestij dalam industri minuman kreatif dan hospitaliti yang menghimpunkan peserta daripada institusi pendidikan, pemain industri, barista profesional dan penggiat mixology dari seluruh negara.
Ketua Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, FSTM, UPM, Prof. Madya Dr. Ungku Fatimah Ungku Zainal Abidin, berkata kejayaan tersebut membuktikan pelajar UPM mampu bersaing di pentas profesional walaupun program BSPPMdK tidak memfokuskan bidang kulinari dan mixology secara khusus.
“Pencapaian ini membuktikan pendekatan pembelajaran holistik yang diterapkan di FSTM berjaya melahirkan pelajar yang versatil, kreatif dan mampu memenuhi kehendak industri makanan dan minuman yang semakin kompetitif.
“Kejayaan ini juga menjadi bukti bahawa pelajar UPM bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan penyelidikan, malah mampu menonjol dalam pertandingan bertaraf industri di peringkat kebangsaan,” katanya.
Sementara itu, pensyarah pembimbing, Dr. Muhammad Rezza Zainal Abidin, berkata kemenangan tersebut lahir daripada komitmen tinggi pelajar serta proses latihan intensif yang memberi penekanan kepada kreativiti, pembangunan produk dan profesionalisme persembahan.
“Mereka berjaya membuktikan bahawa pelajar bidang pengurusan perkhidmatan makanan juga mampu menghasilkan inovasi minuman kreatif yang setanding dengan pemain industri profesional,” katanya.
Selain itu, penyertaan dalam pertandingan industri seperti MONIN Cup Malaysia memberi pendedahan besar kepada pelajar dalam aspek pembangunan kemahiran teknikal, komunikasi profesional, kreativiti serta keyakinan diri.
Dalam pada itu, pencapaian tersebut turut dibimbing oleh Dr. Chua Bee Lia, Dr. Ainul Zakiah Abu Bakar dan Dr. Jack Lai Hao Bin yang memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar dari aspek teknikal, strategi persembahan dan persediaan mental pertandingan.
Kejayaan ini turut memperkukuh reputasi FSTM, UPM sebagai institusi yang komited melahirkan graduan kompeten, progresif dan relevan dengan keperluan industri makanan, minuman dan hospitality di peringkat nasional dan antarabangsa.
Date of Input: 04/06/2026 | Updated: 04/06/2026 | eszereen

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA